PENGENALAN
Objek tiga dimensi bersifat konkrit, berisipadu, mempunyai pandangan sisi, kiri, kanan, atas dan bawah. Di dalam menghasil objek yang bersifat tiga dimensi ini, penstrukturan reka bentuknya perlu dirancang dan perhalusi agar hasilannya nanti menepati spesifikasi yang dikehendaki. Hasilan yang wujud daripada membentuk dan membuat binaan ini dikenali sebagai objek maujud, iaitu objek nyata dan boleh dipegang. Justeru itu ia mempunyai ciri-ciri binaan seperti bentuk, jalinan, besar, kecil, licin, kesat, keras, lembut dan lain-lain. Proses membentuk dan membuat binaan melalui proses imaginasi oleh pelukis dan seterusnya diterjemah dalam bentuk lukisan, distruktur dan akhirnya proses pembinaan objek tersebut.
1.1 BENTUK TIGA DIMENSI DAN RUANG
Bentuk tiga dimensi merupakan objek yang bersifat konkrit, berisipadu, mempunyai pandangan sisi, kiri, kanan, atas dan bawah. Ia berupa objek semula jadi, objek buatan manusia atau bentuk ilusi. Bentuk semula jadi dan buatan manusia boleh disentuh, dilihat dan dirasa. Berbeza dengan bentuk ilusi yang hanya boleh lihat dan tidak dapat dirasa kerana berbentuk dua dimensi yang mungkin berupa lukisan atau ilustrasi. Bentuk ilusi dapat digambarkan melalui penggunaan unsur seni seperti garisan, ton, jalinan, warna dan ruang. Dalam sebutan lain, bentuk ilusi disebut bentuk maya. Satu lagi jenis bentuk yang mungkin jarang diperkatakan ialah bentuk ikon (icon). Bentuk ini mempunyai makna yang tersendiri dan hanya diketahui maknanya oleh orang yang mengetahui mengenai kajian perlambangan dan simbol. Bidang perlambangan dan simbol (iconography) pada mulanya dikaitkan dengan agama Kristian dan lambang-lambang dalam patung Mesir purba tetapi kontemporari ini ia telah disimbolkan dalam arca moden.
Rajah 1.1: Arca ikon bulu tangkis karya Claes Oldenburg dan Coosje van Bruggen di hadapan Muzium Nelson-Arkins, bandar raya Kansas