Tuesday, June 3, 2014

Malnutrisi – Penyakit Kekurangan Nutrien

Apa itu malnutrisi? Malnutrisi bermaksud kekurangan, kelebihan atau ketidakimbangan satu atau lebih nutrien yang sangat diperlukan (Saunders et al., 2010). Ia juga menerangkan kelebihan atau kekurangan kalori. Ia boleh mempengaruhi proses-proses tubuh badan dan keadaan yang ketara akan menyebabkan kerosakan tubuh badan. Apabila ia berlaku, keadaan ini sukar dipulihkan dan sering kali membawa maut. Kekurangan nutrien makanan ialah keadaan individu mengambil nutrien dengan tidak secukupnya untuk fungsi badan sederhana. Manakala kelebihan makanan nutrien pula merujuk kepada pengambilan nutrien melebihi apa yang diperlukan tubuh. Malnutrisi berlaku apabila individu makan dengan cara tidak memenuhi keperluan permakanan. Keadaan ini berlaku kerana: 
 (a) Pemilihan makanan yang tidak baik; 
 (b) Kekurangan pembekalan makanan; dan 
 (c) Kurang makan. 

Selain itu, malnutrisi juga melibatkan remaja yang mewah atau separa mewah. Dua jenis penyakit yang melanda golongan ini ialah Anorexia Nervosa dan Bulimia Nervosa.

(a)   Anorexia Nervosa
Penyakit ini merupakan penyakit yang serius disebabkan oleh gangguan tingkah laku makan yang ketara tetapi bukan kerana kehilangan selera makan. Ia sering melibatkan remaja wanita dan lazimnya wanita ini dicirikan dengan berat badan 25% kurang daripada aras tubuh badan normal. Ini kerana pesakit tidak makan makanan secukupnya untuk fungsi metabolisme. Hampir separuh pesakit jenis ini akan menjurus kepada Bulimia Nervosa.

(b)   Bulimia Nervosa
Bulimia Nervosa merupakan keadaan yang dicirikan oleh idaman makanan yang amat diingini dan ini mengakibatkan memakan makanan secara berlebihan. Tetapi selepas itu, pesakit akan melakukan sesuatu supaya memuntahkan semula makanan yang dimakan. Secara alternatif pesakit akan makan ubat pencuci perut untuk mengeluarkan makanan yang dimakan. Menurut kajian yang pernah dijalankan, penyakit ini meliputi 2- 3% daripada penduduk secara amnya dan kebanyakan ialah wanita (Wiliam, 1992).

Oleh itu nutrien atau makanan berzat sangat penting untuk tubuh badan kita. Seperti yang dibincangkan sebelum ini, nutrien boleh membantu kita mencegah dari risiko penyakit kronik. Di antara penyakit-penyakit itu ialah:


Penyakit disebabkan kekurangan nutrien
Sumber: Berita Minggu, 2004-05-23

(a)   Sakit Kanser
Makan buah-buahan dan sayur-sayuran dikatakan dapat mengurangkan risiko kanser kolon, perut, paru-paru dan esofagus. Walau bagaimanapun, setakat ini bukti yang menunjukkan pengurangan risiko itu tidak sekuat sebagaimana kanser payu dara dan prostat. Manakala diet tinggi lemak pula sering dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser prostat, kolon dan endometrium. Namun begitu, diet tinggi lemak sukar dikaitkan dengan kanser payu dara tetapi ada bukti menunjukkan bahawa lemak tepu memainkan peranan penting dalam meningkatkan risiko kanser. 

(b)   Serangan Jantung dan Angin Ahmar atau Strok
Terdapat satu kajian menyatakan mereka yang mengikut panduan pemakanan yang disarankan Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) mengalami 28% dan 14% pengurangan risiko terhadap serangan jantung dan strok atau angin ahmar berbanding mereka yang tidak mengikuti garis panduan itu. 

(c)    Tekanan Darah Tinggi
Terdapat banyak kelebihan memakan buah-buahan dan sayur-sayuran. Mengikut satu kajian yang dijalankan, mengambil banyak buah-buahan dan sayuran-sayuran (8 hingga 10 hidangan), diikuti diet rendah lemak dan mengambil produk tenusu (3 hidangan sehari) boleh mengurangkan risiko tekanan darah tinggi dan merendahkan tekanan darah, sekali gus mengurangkan risiko terhadap penyakit koronori. 

(d)   Lebihan Kolestrol
Kolestrol ialah suatu zat lemak yang beredar di dalam darah, dihasilkan oleh hati dan sangat diperlukan oleh tubuh. Tetapi kolesterol berlebihan akan menimbulkan masalah terutama pada pembuluh darah jantung dan otak. Mengurangkan pengambilan lemak, terutamanya lemak tepu dapat mengurangkan risiko lebihan kolestrol di dalam darah, sekali gus risiko terhadap penyakit jantung koronari. Setiap orang memiliki kolesterol di dalam darahnya, di mana 80% dikeluarkan oleh tubuh sendiri dan 20% berasal dari makanan. Kolesterol yang dikeluarkan terdiri daripada 2 jenis iaitu kolesterol HDL dan kolesterol LDL. Kolesterol HDL, adalah kolesterol baik, yang mempunyai fungsi membersihkan pembuluh darah dari kolesterol LDL yang berlebihan. Kadar kolesterol HDL yang tinggi merupakan suatu tanda yang baik semasa kolesterol LDL kurang daripada 150 mg/dl. 

Selain itu, trigliserida iaitu lemak yang terhasil dari metabolisme makanan, termasuk makanan yang berlemak juga makanan yang berbentuk karbohidrat dan protein. Tidak seluruh lemak digunakan sebagai sumber tenaga dan kadar trigliserida akan meningkat apabila kalori berlebihan serta terlebih banyak daripada keperluan tubuh badan. Kadar trigliserida yang tinggi akan memburukkan risiko terjadinya penyumbatan pada pembuluh darah jantung dan otak. 

(e)   Osteoporosis
Osteoporisis ialah sakit tulang di mana tulang kita menjadi rapuh dan mudah patah. Ia sering berlaku terhadap golongan orang berumur. Justeru itu, mengambil kalsium secukupnya akan dapat melindungi anda daripada penyakit ini. Kalsium boleh didapati dalam produk tenusu, sayuran hijau dan produk-produk yang diperkayakan dengan kalsium.

(f)     Spina Bifida
Pengambilan makanan yang mengandungi asid folik seperti sayur-sayuran hijau atau asid folik yang diperkayakan dengan bijirin sebelum dan ketika hamil dapat membantu melindungi bayi daripada mengalami spina bifida.

Kesan kelebihan dan kekurangan nutrien ditunjukkan dalam Rajah dibawah.

 Kesan kekurangan dan kelebihan nutrien
Sumber:  Williams, M. H. (2002). Nutrition for health, fitness and sport.
Boston: Mc-Graw Hill

No comments:

Post a Comment