Monday, June 2, 2014

Nutrien

Nutrien

Nutrien ialah zat makanan atau bahan dalam makanan yang boleh digunakan oleh tubuh badan untuk memperoleh tenaga, membantu dalam sintesis tisu dan pelbagai aktiviti penting yang lain di dalam badan. Seperti badan kita, terdapat campuran bahan kimia di dalam makanan dan sesetengahnya adalah sangat mustahak untuk tubuh manusia. Bahan penting yang digunakan oleh badan kita itulah dikenali sebagai zat makanan atau nutrien.

Nutrien amat penting kepada tubuh badan manusia untuk pelbagai fungsi seperti tumbesaran dan perkembangan badan, keseimbangan sel dan tisu, pembekal tenaga untuk melakukan aktiviti-aktiviti fizikal dan mengawal beratus ribu proses makanan yang berlaku di dalam badan kita setiap hari. Nutrien yang lengkap melahirkan badan yang sihat.

Jenis-jenis Nutrien

Nutrien bukan sahaja terdapat di dalam bahan kimia makanan tetapi ia juga boleh diperolehi dalam pelbagai jenis dan setiap jenis nutrien mempunyai fungsinya tersendiri. Secara umumnya nutrien terbahagi kepada dua jenis iaitu:

a)      Makronutrien ( Macronutrient )
Ia dikenali dengan makronutrien kerana ia membekalkan tenaga dalam kuantiti yang besar untuk badan manusia bagi melakukan aktiviti-aktiviti fizikal. Makronutrien terdiri daripada karbohidrat, protein, lemak dan air.

b)     Mikronutrien ( Micronutrient )
Mikronutrien terdiri daripada vitamin dan mineral. Ia dikenali dengan mikronutrien kerana jumlah yang diperlukan untuk tubuh badan manusia adalah sedikit berbanding makronutrien. Mikronutrien mengawal fungsi- fungsi tubuh badan.

Terdapat enam kelas nutrien dalam makanan iaitu:
(a) Karbohidrat;
(b) Lemak;
(c) Protein;
(d) Vitamin;
(e) Mineral; dan
(f) Air.

Nutrien pula boleh dibahagikan kepada dua kelas yang utama berdasarkan elemen karbon di dalamnya. Bahan yang mengandungi karbon dikenali sebagai organik dan yang tiada karbon dipanggil tidak organik. Karbohidrat, lemak, protein dan vitamin adalah kumpulan organik, manakala mineral dan air adalah kumpulan tidak organik.



1 comment: