Monday, June 2, 2014

Sumber-sumber Nutrien

Sumber-sumber nutrien terdiri daripada enam kelas nutrien iaitu karbohidrat, lemak, protein, vitamin, mineral dan air.

Karbohidrat

Perkataan karbohidrat memberi maksud karbon yang dihidrat. Ia terhasil daripada karbon, hidrogen dan oksigen. Karbohidrat adalah pembekal tenaga utama di dalam badan manusia. Diet karbohidrat adalah seperti kanji dan gula di dalam bijirin, sayur-sayuran, legum dan buah-buahan. Selain itu, kita juga boleh memperoleh karbohidrat daripada bahan tenusu, tetapi bukan daripada daging. Badan kita menukar diet karbohidrat kepada glukos iaitu sebatian gula yang mudah. Glukos inilah yang kita akan dapati di dalam lingkaran bagi membekal tenaga kepada sel dan tisu. 

Pengkelasan Karbohidrat
Karbohidrat boleh dikelaskan kepada beberapa bahagian mengikut rangkaian molekul karbon. Karbohidrat yang tidak boleh dihidrolisiskan kepada karbohidrat yang lebih mudah dipanggil monosakarida. Karbohidrat yang boleh dihidrolisiskan kepada dua unit monosakarida dipanggil disakarida; yang menghasilkan tiga unit dipanggil trisakarida dan seterusnya. Manakala karbohidrat yang menghasilkan banyak molekul monosakarida dipanggil polisakarida.

Lemak

Lemak berasal daripada mminyak dan juga bahan dalam makanan seperti kolestrol dan ffosfolipid. Lemak adalah sebatian organik dan seperti karbohidrat ia mengandungi karbon, hidrogen dan oksigen. Lemak atau juga trigliserida adalah antara pembekal utama tenaga kepada badan. Selain itu trigliserida, kolestrol dan fosfolipid mempunyai fungsi utama yang lain iaitu memberi struktur sel badan, pembawa larutan lemak vitamin (A, D, E dan K) dan membekal bahan permulaan (kolestrol) untuk menghasilkan hormon yang banyak. Lemak mempunyai kandungan kalori yang tinggi. Bagi berat yang sama, lemak mempunyai dua kali ganda jumlah kalori berbanding dengan karbohidrat dan protein.

Terdapat tiga jenis lemak iaitu:
(i)                 Lemak Tepu
Lemak ini akan meningkatkan kolestrol darah yang berbahaya kepada jantung. Ia terdapat di dalam daging-daging berlemak, mentega, keju, minyak sapi, lemak  binatang, minyak kelapa dan santan.

(ii)                Lemak Poli Tak Tepu
Lemak ini mengurangkan paras kolestrol darah dan sangat baik untuk jantung. Lemak ini adalah lemak cecair dari bahan tanaman seperti minyak jagung dan minyak kacang soya.

(iii)              Lemak Mono Tak Tepu
Lemak ini juga boleh membantu menurunkan paras kolestrol di dalam darah seperti minyak kelapa sawit, minyak kacang tanah dan minyak zaiton.

Diet lemak diperoleh daripada lemak dan minyak yang digunakan dalam makanan atau dimasak dengannya. Lemak di dalam makanan adalah mustahak untuk kesihatan. Kebanyakan lemak di dalam makanan kita berpunca daripada 5 sumber.


Sumber Lemak

  1. Lemak masakan (seperti mentega, marjerin atau minyak sapi) dan minyak; 
  2. Daging (daging ayam, kambing dan lembu); 
  3. Lemak-lemak yang disapu (mentega dan marjerin); 
  4. Bahan tenusu (susu, krim dan keju); dan 
  5. Kekacang.

Protein

Protein juga salah salah satu bahan sebatian organik yang dibuat daripada bangunan blok kecil yang dikenali sebagai asid amino. Komposisi asid amino berlainan daripada karbohidrat dan lemak. Protein bukan sahaja mengandungi karbon, hidrogen dan oksigen, tetapi juga nitrogen. Asid amino juga mengandungi mineral sulfur. Asid amino yang kita peroleh dari diet protein bergabung dengan asid amino di dalam badan untuk menghasilkan beratus-ratus jenis protein badan.

Protein badan membantu merangsang pertumbuhan dan penggantian tisu dan otot badan, membentuk kompaun badan yang penting seperti beberapa hormon, enzim dan hemoglobin, keseimbangan kandungan air, membentuk antibodi dan memelihara keseimbangan badan. Selain itu ia juga boleh digunakan untuk membekalkan tenaga kepada badan. Protein boleh didapati dalam pelbagai bentuk makanan, tetapi daging dan bahan tenusu adalah sumber utama. Bijirin, kekacang dan sayuran menyumbangkan protein untuk diet, manakala buah-buahan menyumbangkan jumlah protein yang sedikit sahaja.

Rajah 2.5: Kepentingan protein kepada tubuh badan 

Vitamin

Vitamin juga adalah sebatian organik yang mengandungi karbon, hidrogen dan kemungkinan juga nitrogen, oksigen, fosforus, sulfur dan elemen lain. Ia berfungsi untuk mengawal proses di dalam badan seperti penghasilan tenaga serta darah dan juga pengimbangan kalsium. Selain itu ia juga membantu menjaga organ-organ dan tisu-tisu berfungsi dan sihat. Kebiasaannya vitamin terbahagi kepada dua kumpulan iaitu:

(i)                 Vitamin Larut Lemak ( Fat-soluble )
Empat vitamin larut lemak adalah vitamin A, D, E dan K. Walaupun ia mempunyai pelbagai peranan tetapi ia juga mempunyai kesamaan. Kesamaan di antaranya ialah cara ia menyerap dan membawa atau bergerak di dalam badan. Selain itu ia juga boleh disimpan di dalam kuantiti yang banyak berbanding larutan air.

(ii)                Vitamin Larut Air ( Water-soluble )

 Vitamin larut air termasuk vitamin C dan lapan vitamin B iaitu thiamin, riboflavin, niasin, pyridoxine, kobalamin, folat, asid pantotenat dan biotin. Kebanyakan vitamin B terlibat di dalam laluan metobolisma tenaga. 

Vitamin boleh diperoleh dari berbagai-bagai bentuk makanan. Walaupun sumber utamanya ialah sayur dan buah-buahan, ia juga boleh diperolehi daripada daging, kacang, bijirin, bahan tenusu dan lemak. Keperluan vitamin boleh dihadkan jika kita mengamalkan diet yang seimbang, kerana vitamin berlebihan boleh mengancam kesihatan terutama vitamin A, D, pyridoxine dan niasin.

Garam

Garam terdiri daripada bahan bukan organik. Sekurang-kurangnya ada 16 garam yang sangat penting kepada kesihatan, di antaranya ialah sodium, klorida, kalium, kalsium, fosforus, magnesium dan sulfur. Garam-garam ini juga dikenali sebagai makromineral. Ini kerana badan memerlukan garam-garam ini dalam kuantiti yang banyak berbanding garam-garam lain. Manakala mikromineral diperlukan dalam kuantiti yang sedikit, antaranya ialah zat besi, zink, tembaga, mangan, molibdenum, selenium, iodin dan fluorida. Garam, seperti vitamin juga, mempunyai berbagai- bagai peranan seperti membentuk struktur sel dan tisu serta mengawal proses dalam badan. Terdapat pelbagai sumber makanan garam tetapi yang selalu dikaitkan adalah daripada daging, susu dan tumbuhan.

Air

Air merupakan mineral atau garam yang semula jadi. Ia juga adalah nutrien yang paling penting. Badan kita boleh bertahan tanpa mineral lain untuk sesuatu jangka masa yang panjang kecuali air. Air mempunyai banyak peranan di dalam tubuh badan manusia seperti mengawal suhu badan, pelincir dan pembawa nutrien dan bahan buangan. Badan manusia mempunyai hampir 60% kandungan air. Justeru kita mesti meminum air secukupnya untuk mengelak badan kita dari kekurangan air. Sumber air bukan sahaja daripada minuman tetapi boleh juga didapati dalam makanan, buah-buahan dan sayur-sayuran.


1 comment: