Tuesday, June 3, 2014

PIRAMID MAKANAN

Piramid makanan merupakan panduan bagi memilih makanan secara sihat. Makanan seimbang digambarkan dengan piramid makanan yang dicadangkan oleh Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA, 1993). Cadangan tersebut meliputi enam kumpulan makanan sebagai makanan seimbang.
Piramid makanan
Piramid makanan 

Jenis-jenis dan Kumpulan Makanan

Di dalam piramid makanan terdapat empat aras makanan. Setiap aras ada fungsi-fungsinya tersendiri.

a)      Aras 1 (Bijirin, Hasil Bijirin, Nasi dan Ubi)
Di aras ini terdapat kumpulan makanan yang kaya dengan karbohidrat kompleks, yang merupakan sumber tenaga yang utama. Makanan ini juga membekalkan vitamin, mineral, serat dan sedikit protein. Di dalam setiap hidangan, makanan daripada kumpulan ini perlu diambil paling banyak. Contoh makanan bagi kumpulan ini adalah nasi, bubur, mi, bihun, roti, pasta, bijirin sarapan, capati, thosai, biskut dan pelbagai jenis  ubi seperti ubi keledek, keladi dan kentang. Pilihlah bijirin atau hasil bijirin mil penuh seperti beras perang, tepung gandum mil penuh atau tepung atta dan roti atau biskut mil penuh.

b)      Aras 2 (Sayur-sayuran dan Buah-buahan)
Sayur-sayuran dan buah-buahan terletak di Aras 2 Piramid Makanan. Makanan ini kaya dengan vitamin, mineral dan serat. Makanlah buah- buahan dan sayur-sayuran dengan banyak dan pelbagaikan pilihan di dalam setiap hidangan.

c)      Aras 3 (Daging, Ayam, Ikan dan Kekacang)
Daging, ayam, ikan dan kekacang terletak di Aras 3 Piramid Makanan. Makanan ini kaya dengan protein, vitamin B, zat besi, zink dan magnesium. Pilihlah daging rendah lemak dan buang semua lemak yang kelihatan pada daging dan ayam. Sekali sekala tukarkan penggunaan daging dengan kekacang, kerana ia rendah lemak dan kaya dengan serat. Contoh kekacang adalah kacang soya dan hasilnya (seperti tauhu dan tempe), kacang dhal dan kacang merah.

Hasil Tenusu
Hasil tenusu juga terletak di Aras 3 Piramid. Contoh hasil tenusu ialah susu, keju dan dadih. Makanan ini kaya dengan protein, kalsium dan biasanya diperkaya dengan vitamin D. Pilihlah hasil tenusu rendah lemak.

d)     Aras 4 (Lemak, Minyak dan Gula) 
Makanan yang kaya dengan lemak, minyak dan gula terletak di Aras 4 Piramid. Ini menunjukkan hanya sedikit sahaja makanan daripada kumpulan ini yang perlu dimakan.

Kepentingan Mengambil Makanan Pelbagai Jenis Berasaskan Piramid

Makanan memberikan kita tenaga dan zat-zat lain yang diperlukan untuk pertumbuhan, bergerak, bekerja, bermain, berfikir dan belajar. Tubuh memerlukan pelbagai jenis zat seperti karbohidrat, lemak, protein, vitamin, mineral dan serat dari makanan. 

Tidak ada satu makanan pun yang dapat membekalkan kesemua zat yang diperlukan. Cara yang terbaik ialah memakan pelbagai jenis makanan. Makanlah sedikit daripada setiap kumpulan makanan. 

Tidak ada makanan yang harus dipantangkan kecuali atas sebab-sebab perubatan. Pilihlah makanan harian daripada gabungan makanan berasaskan piramid makanan. Makanan yang berlainan membekalkan kombinasi tenaga (kalori) dan nutrien yang berbeza. Memakan pelbagai jenis makanan adalah cara yang terbaik untuk memenuhi keperluan tenaga dan nutrien anda seharian. 

Kepelbagaian boleh dicapai dengan mengambil diet yang menggabungkan kesemua kumpulan makanan dalam piramid makanan dan pelbagaikan jenis makanan yang diambil dari setiap kumpulan makanan. Makanan yang diambil seharian sepatutnya dipilih lebih banyak daripada paras piramid yang paling bawah, manakala paling sedikit daripada puncak piramid. Ini membantu menjamin keseimbangan dalam pemakanan anda. 

Kesederhanaan harus diutamakan untuk mengelakkan daripada memakan terlampau banyak dari sejenis kumpulan makanan. Panduan piramid makanan menyarankan jumlah (atau hidangan) yang boleh dimakan dari setiap kumpulan makanan setiap hari untuk individu yang normal dan sihat.

2 comments:

  1. ASSALAMUALAIKUM..MOHON DIJADIKAN NOTA RUJUKAN YE CIKGU.TERIMA KASIH

    ReplyDelete
  2. sebutkan pilihan sos dalam piramid makanan

    ReplyDelete