Tuesday, June 3, 2014

MEMBENTUK DAN MEMBUAT BINAAN ARCA

Topik 2 Arca

PENGENALAN

Sejarah arca bermula dari penemuan patung kecil “Cycladic" di sebuah pulau di Laut Aegean lebih kurang 4,500 tahun yang lalu. Adalah dipercayai bahawa arca figura yang banyak ditemui di serata dunia ada kaitan yang amat rapat dengan sistem kepercayaan pada masa itu. Arca “Laocoon” (50 Sebelum Masihi) menunjukkan satu situasi dramatik: tiga lelaki dibelit ular. Gambaran ini menunjukkan sindiran masyarakat pada masa itu. Pada masa Renaison, arcawan banyak berkarya bertemakan figura manusia kerana faktor kemanusiaan paling mudah dijadikan sebagai sindiran dan teladan. Pada tahun 1501 – 1504 Michelangelo membuat arca manusia bertopik “David” menggunakan marmar. Menjelang abad kedua puluh, arca tidak berkonsepkan figura seratus peratus. Ia telah mengalami perubahan dan akhirnya berubah kepada konsep abstrak. Arcawan British bernama Henry Moore dan Alberto Giacometti telah menukarkan konsep figura yang dipiuhkan atau distailisasikan untuk lebih membawa makna dalaman.

Perkembangan seni arca di Malaysia asalnya berkaitan dengan magis yang digunakan oleh kaum asli bagi tujuan keagamaan dan perubatan. Patung-patung yang dihasilkan oleh Kaum Jah Hut dan Mah Meri mempunyai ciri-ciri seperti yang diterangkan tadi. Perkembangan arca yang bersifat konseptual dan distailisasikan bermula sekitar tahun 1960-an daripada pengarca yang mendapat pendidikan Barat. Pengarca Malaysia terdiri daripada Anthony Lau, Latiff Mohidin, Syed Ahmad Jamal dan Lim Kian Seng.


Arca berasal daripada perkataan Yunani tua “sculpere” yang bermaksud mengukir, menebuk, memotong, melarik dan sebagainya (Gaunt 1966: 1).


Rajah 2.1: Arca pentingkan bentuk dan ruang



Rajah 2.2: Jenis-jenis arca


2.1 KATEGORI ARCA
Arca pada asal-usul pengkaryaan bersifat realis iaitu menampilkan objek patung manusia dan binatang sebagai suatu representasi mesej. Ia ada kaitan dengan kepercayaan dan keagamaan. Menjelang abad ke dua puluh, apabila seni menemui dimensi baru, arca berubah kepada ciri abstrak dan membuka era baru dalam peradaban arca. Kontemporari ini arca lebih menampilkan bentuk abstrak kerana interpretasinya yang berbagai dan mempunyai konotasi yang luas. Bagi tujuan untuk menjadikan arca lebih bermakna ia diolah dalam pelbagai gunaan dan akhirnya muncullah arca estetik dan arca berfungsi.

Rajah 2.3: Kategori arca


Rajah 2.4: Media penghasilan arca


Rajah 2.5: Arca logam dan permata                                          Rajah 2.6: Arca kayu


2.2 ALAT DAN MEDIA DALAM PEMBUATAN ARCA

Bil.
Jenis Bentuk/3D
Bahan/Alat
Contoh
1
Arca timbul
Kepingan kayu, plaster of Paris, batu, kayu, plastik, kertas lumat, papier mashe, tanah liat, Pahat, penukul, alat pengukir, pengikis, kikir pari, kertas pasir dan lain-lain.
“Still Life With Musical Instruments” oleh Jaques Lipchitz”.
(891-1973)
2
Asemblaj
Kayu, logam, batu, simen, bongkah-bongkah, “spare-part” kenderaan, bahan kutipan, besi, roda dan sebagainya.
“Bicycle Wheel” oleh Marcel Duchamp.
(1887 – 1968), Perancis.
3
Mobail
Besi, dawai, kertas, tali temali, kepingan logam, kad bod.
“Horizontal Spines” oleh Alexander Calder, 1942.
4
Stabail
Simen, kepingan logam, plastik, “spare-parts” kenderaan, besi, logam, papan dan sebagainya.
“Homage New York: A Self Construction and Self Destroying Work of Art” oleh Jean Tinguely.
(1925-1991).


2.3 TEKNIK PENGHASILAN


Bil.
Jenis Bentuk/3D
Teknik Penghasilan dan Peralatan yang Berkaitan
1
Arca timbul
Bentuk tiga dimensi tersembul keluar dari permukaan dua dimensi yang rata atau dipahat keluar yang akhirnya menonjolkan objek ke permukaan. Ia bolah di buat secara:
  • Acuan
  • Tampalan
  • Asemblaj
  • Binaan
2
Asemblaj
Bahagian atau komponen yang berlainan yang dicantum dan menjadi satu kesatuan objek dan menjadi satu konsep bermakna. Teknik hasilan;
  • Kimpalan
  • Binaan
  • Cantuman skru/paku
  • Gam
3
Mobail
Bahagian-bahagian dicantum untuk membentuk satu kesatuan. Digantung untuk menjadikan objek bergerak, berputar atau berombak. Teknik yang digunakan;
  • Kimpalan
  • Gam
  • Skru
  • Ikatan
4
Stabail
Bahan kutipan dicantumkan untuk membentuk satu kesatuan objek dan dipasang tapak yang stabil. Teknik yang digunakan;
  • Kimpalan
  • Skru
  • Ikatan
  • Acuan
  • Binaan



2.3.1 Penyediaan Lakaran Idea

Penentuan bentuk arca dan jenis bahan perlu ditentukan lebih awal. Olahan idea perlu berpandukan kepada asas dan prinsip seni reka berdasarkan kepada perkara-perkara berikut;
  • Menentukan subjek dan tema
  • Menentukan alat dan media
  • Membuat tumb-nail-print (membuat lakaran-lakaran kecil)
  • Memilih salah satu lakaran yang terbaik
  • Memperinci lakaran

2.3.2 Proses Membentuk Arca

Setelah penyediaan lakaran ide selesai proses berikut merupakan urutan yang perlu dilakukan;
  • Membuat model kecil/prototaip
  • Membuat kerangka atau struktur
  • Membuat arca yang sebenar
  • Kemasan dan persembahan

2.4 PERSEMBAHAN HASIL KERJA

2.4.1 Ekspresi Diri

Persembahan hasil kerja yang baik mempunyai ciri-ciri yang berikut:
  1. Bentuk arca menepati tema dan topik.
  2. Bahan binaan arca sesuai dengan tujuan hasilan.
  3. Pastikan ia kuat, kukuh dan selamat.
  4. Kepelbagaian bahan dapat diadun atau dipasang dengan baik, membentuk suatu komposisi gubahan yang artistik.
  5. Mengaplikasi prinsip-prinsip rekaan seperti rentak, pergerakan, kontra, warna, imbangan dan kesatuan yang menarik.
  6. Asli, unik dan berketerampilan.

2.4.2 Kemahiran Mengaplikasikan Alat, Bahan dan Teknik

Kemahiran-kemahiran seperti di atas akan merujuk kepada lima perkara yang berikut:
  1. Kesesuaian topik, tema dan teknik yang dikaitkan dengan pemilihan alat dan bahan.
  2. Membuat “tumbnail-print” bertujuan untuk membuat pilihan yang terbaik.
  3. Kaedah mengguna alat perlu betul dan mengikut peraturan.
  4. Syelek, varnis, minyak kayu, cat alas, cat kilat, emulsi, perada, labuci, manik-manik sering kali menjadi pilihan untuk dijadikan kemasan akhir produk. Pilih keserasian bahan penyudah atau bahan kemasan untuk penampilan yang anggun.
  5. Untuk tujuan peragaan yang mantap, tentukan tapak yang kukuh dan selamat.


Rajah 2.7: Arca boleh dinterpretasi dengan pelbagai cara dan disiplin

2.4.3 Apresiasi

Apresiasi arca dilakukan berpandukan empat perkara berikut:

Rajah 2.8: Apresiasi arca


RUMUSAN

  • Dari aspek sejarah kewujudan arca dikaitkan dengan ritual.
  • Setelah berlakunya proses pemodenan, arca tidak semata-mata untuk ritual tetapi ia juga digunakan sebagai hiasan dan gunaan.
  • Arca seterusnya berkembang luas kerana penerimaan masyarakat dan penggunaan pelbagai media mengikut pengaruh aliran atau isme.
  • Sebuah arca yang menarik perlu menekankan unsur seni, prinsip rekaan dan struktur rekaan.
  • Penghasilan sebuah arca perlu mengikut urutan proses.


1 comment: