Tuesday, June 3, 2014

Status Pemakanan Mengikut Kumpulan Kanak-kanak

Kanak-kanak merupakan peringkat kedua dalam sistem manusia. Kumpulan kanak-kanak boleh dikategorikan dari umur 1 hingga 12 tahun.

Keperluan Nutrien dan Kalori

Keperluan nutrien dan kalori untuk kanak-kanak berbeza mengikut usia mereka. Sebagai contoh, kanak-kanak yang berusia 1 hingga 6 tahun, didedahkan dengan makanan keluarga secara beransur-ansur. Menurut Kementerian Kesihatan tiada suatu jenis makanan yang dapat membekalkan semua zat yang diperlukan oleh tubuh. Oleh itu, pelbagaikan pengambilan makanan anak anda berasaskan Piramid Makanan (Norhashimah Hasim, 2004).
Piramid makanan
Nasi, mi, roti dan ubi-ubian merupakan sumber utama tenaga untuk anak anda. Buah-buahan dan sayur-sayuran pula adalah sumber yang kaya dengan serat, vitamin dan mineral yang membantu menjauhi penyakit. Manakala ikan, daging dan gantiannya seperti telur, kekacang, tauhu dan tempe merupakan kumpulan makanan yang membekalkan protein, vitamin dan mineral di samping sedikit lemak. la berfungsi membina tubuh dan membantu menyembuhkan luka.

Susu dan hasilannya seperti keju dan dadih, kaya dengan protein dan kalsium yang tinggi. Zat-zat ini adalah penting untuk membentuk tulang dan gigi yang kuat. Di samping kalsium, susu adalah sejenis makanan yang amat kaya dengan nutrien. Ia adalah sumber vitamin dan mineral yang baik seperti vitamin A, kumpulan vitamin B (riboflavin, niasin, vitamin B6 dan vitamin B12), magnesium, fosforus dan zink. Selain itu, susu turut membekalkan protein yang diperlukan untuk pembinaan tisu serta karbohidrat dan lemak yang berfungsi sebagai pembekal tenaga (Winnie Chee, 2007). Rajah 3.4 (a-d) menunjukkan kumpulan makanan yang diperlukan oleh kanak-kanak.
Pelbagai jenis kumpulan makanan untuk kanak-kanak
Di samping hidangan utama, makanan ringan yang berkhasiat juga boleh diberikan. Walau bagaimanapun, pemilihan makanan ringan haruslah daripada bahan yang mengandungi kandungan garam dan gula yang rendah. Contoh makanan ringan untuk kanak-kanak berumur 1 hingga 4 tahun adalah seperti biskut kraker yang dicelup dengan air, susu kacang soya, susu, dadih dan air buah. Bagi kanak-kanak berusia 4 hingga 12 tahun contoh makanan ringan adalah seperti sandwic, buah-buahan, bebola ikan, keropok lekor dan jagung rebus.

(a)   Makanan segera atau fast food adalah sejenis makanan yang digemari oleh kanak-kanak masa kini terutamanya yang berusia 5 hingga 10 tahun (Raihanah Abdullah, 2003).


(b)   Panduan Menyediakan Makanan yang Menarik
(i)     Hidangkan makanan yang beraneka warna dan bentuk yang menarik.
(ii)   Guna peralatan yang pelbagai warna dan bentuk.

(iii) Hidangkan secara berasingan agar lebih menarik.

Ketidakseimbangan Nutrien dan Malnutrisi

Kajian daripada Zamaliah, Mohd Nasir dan Khor Giok Lin (1998) menunjukkan kanak-kanak merupakan golongan yang banyak mengalami masalah ketidakseimbangan nutrien. Ini kerana, kanak-kanak masa kini terutamanya yang berusia 5 hingga 10 tahun lebih menggemari makanan segera (Raihanah Abdullah , 2003). 

Bagi Soon Suat Duan dan Khor Geok Lin (1995), pengambilan kalori yang tidak mencukupi juga merupakan salah satu faktor penting yang menyebabkan masalah malnutrisi ini berlaku. Masalah ini lazimnya dipengaruhi oleh faktor sosioekonomi seperti tahap pendidikan dan pengetahuan pemakanan ibu serta bilangan kanak-kanak seisi rumah. 

Kesan ketidakseimbangan nutrien akan menyebabkan kanak-kanak tidak mendapat zat yang sepatutnya lalu melahirkan kanak-kanak yang bantut pertumbuhannya atau dikenali sebagai penyakit kwasyiokor dan juga obesiti. Penyakit-penyakit ini, jika tidak dibendung, akan berterusan hingga ke hari tua. 

Obesiti


Masalah obesiti atau kegemukan. Masalah seperti ini jika dibiarkan ia akan memberikan kesan yang lebih buruk dalam jangka masa panjang. Apabila mereka berada dalam keadaan obes, akan berisiko mendapat pelbagai jenis penyakit yang merbahaya seperti kencing manis, darah tinggi, barah, penyakit pundi hempedu, penyakit hati dan reumatik yang boleh mengancam nyawa mereka (rujuk keratan akhbar Utusan Malaysia, 28 Mei 2004). 

Faktor yang menjadi penyebab masalah obesiti:-

  • Kurangnya melakukan aktiviti fizikal, 
  •  corak pemakanan yang tidak sihat,    serta 
  •  pengambilan makanan yang mengandungi banyak lemak dan kolestrol. 
  • Faktor genetik dan gaya hidup juga memainkan peranan penting dalam menentukan berat badan kanak-kanak.
Menurut pakar perubatan, pengambilan makanan yang mengandungi banyak kalori adalah antara penyebab utama masalah kegemukan. Ini kerana tenaga atau kalori yang berlebihan disimpan di dalam tubuh dalam bentuk lemak. Tenaga merupakan satu mekanisme yang boleh membantu untuk membakar lemak. Jika seorang kanak-kanak tidak menggunakan banyak tenaga maka mereka akan lebih cenderung untuk menjadi gemuk kerana lemak tadi tidak dibakar dan hanya disimpan di dalam perut. Sebaliknya, jika seorang kanak-kanak menggunakan banyak tenaga mereka akan kelihatan kurus kerana kurang berlemak. Menurut kajian Raihanah Abdullah (2003), hanya 24 peratus kanak-kanak terbabit dalam kegiatan fizikal seperti berbasikal, bermain badminton dan berlari.

Untuk menangani masalah ini, ibu bapa seharusnya menjaga pemakanan anak-anak mereka sejak lahir lagi. Pemakanan yang seimbang akan menjamin kehidupan yang sihat. Ibu bapa harus berusaha memperkenalkan makanan ringan yang sihat kepada anak-anak disamping menyediakan makanan yang pelbagai seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. Ini penting bagi menggantikan makanan ringan yang kurang berkhasiat serta mempunyai kadar lemak, kolestrol dan gula yang tinggi. Kebanyakan pakar diet mencadangkan agar kanak-kanak meminum air yang banyak dan menghadkan pengambilan minuman bergula.

Oleh itu, melalui pemakanan yang sihat, seimbang, kurang lemak dan kolestrol, serta ditambah dengan melakukan aktiviti sihat seperti bersenam, kanak-kanak akan mencapai berat badan yang lebih unggul.

1 comment:

  1. saya sangat suka dengan website ini supaya saya dapat mengajar ank ii saya yg bawah umur 12 thn.terima kasih banyak ii ye sbb mengajar org lain tentang kesihatan.moga murah rezeki dan panjang umur pada sape yg buat website ini.itu sahaja dari saya

    ReplyDelete